
KULIM, 19 Mei – Program Perjumpaan Muhibah tujuh cawangan UMNO dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas berlangsung dengan meriah di Pekan Karangan, dekat sini, hari ini.
Ia dianjurkan pertama kali oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Seri Karangan, dekat sini.
Seramai 50 penduduk termasuk kanak-kanak turut mengambil bahagian dalam pelbagai acara pertandingan khas untuk memeriahkan program berkenaan seperti pertandingan membakar ikan, kukur kelapa dan meneka jumlah kacang.
Antara objektif diadakan pertandingan tersebut adalah untuk mempereratkan hubungan mesra antara masyarakat bersama pemimpin setempat.
Kira-kira 400 hadirin turut diperdengarkan suara azan menerusi satu pertandingan khas melibatkan kanak-kanak berusia enam hingga tujuh tahun.
Majlis tersebut disempurnakan Penyelaras DUN Merbau Pulas yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Abdul Rahman Mahamud.
Abdul Rahman berkata, kesediaan JKKKP dan pemimpin setempat dalam penganjuran program seperti itu membuktikan bahawa mereka tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Saya mengalu-alukan program ini dan berharap kerjasama dijalin ini mampu memudahkan urusan program pada masa depan.
“Program seperti ini bukan saja mampu merapat ikatan ukhuwah tetapi pada masa sama mendekatkan pemimpin dengan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, kelunakan suara seorang pelajar tadika, Ku Mohd. Haikal Ku Nor Azham, 6, yang berjaya memikat hati juri apabila dipilih memenangi acara memperdengar suara azan.
Anak sulung kepada seorang pemandu lori kontena itu berjaya menewaskan 10 peserta lain.
Ku Mohd. Haikal memberitahu, dia mendapat dorongan daripada ibunya, Rohana Omar, 28, untuk melatih memperdengar suara azan. -MediaUMNO/UtusanM


